JOHOR BAHRU, 24 Disember- Akademi Mokhtar Dahari (AMD) muncul juara Liga Bola Sepak Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2023 Divisyen Dua musim ini, selepas mengalahkan UiTM Negeri Sembilan (UiTMNS) dengan catatan 2-0, dalam aksi terakhir di Stadium Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini.
Kejuaraan Divisyen Dua itu menghadiahkan AMD wang tunai RM7,000, serta menjulang Piala Pusingan dan Piala Iringan.
Kedua–dua pasukan memberikan aksi rancak dan pantas dengan gol pertama perlawanan dijaringkan Muhamad Airel Husainy Yusoff pada minit ke-28.
Babak kedua menyaksikan UiTMNS berusaha menyamakan kedudukan, namun AMD berjaya menambah jaringan menerusi Muhammad Hakim Mohd Hassan pada masa kecederaan.
Muhammad Hakim turut muncul penjaring terbanyak liga divisyen tersebut, selain dinobatkan sebagai pemain terbaik.
Meskipun tewas, UiTMNS bangga dengan prestasi pemain dan gembira kerana akan diserap masuk ke divisyen satu, pada musim hadapan.
Menurut Penolong Jurulatih MD Mohamad Kuizwan Mohd Johari, ini merupakan perlawan pertama mereka.
"Kita berada dalam keadaan yang baik, pemain menunjukkan komitmen dan bermain dengan sepenuh hati. Kesemuanya mengikut perancangan," katanya.
Sementara itu bagi Pembantu Jurulatih UITMNS Mohd Aizzat Adnan, perlawanan kali ini melayakkan pasukannya untuk masuk ke divisyen 1.
"Alhamdulillah setelah bertahun-tahun berusaha untuk ke divisyen satu, akhirnya ada rezeki untuk masuk. Persediaan awal kita akan bermula awal sebab kita akan ada satu lagi perlawanan besar KARISMA," katanya.
Bagi Pembantu Jurulatih UITMNS Pengerusi Seketariay Kejohanan Liga Bola Sepak IPT Datuk Dr Pekan Ramli, liga bola sepak itu mendekatkan antara pemain IPT serta pemain dalam akademi bola sepak negara.
"Perlawanan yang positif kerana kita lihat kualiti permainan itu sendiri. Walaupun divisyen dua di IPT, namun ia memberikan satu perlawanan yang agak tinggi," katanya.