LAS VEGAS, 13 September – Canelo Alvarez dan Terence Crawford masing-masing berjaya melepasi timbangan pada Jumaat bagi pertarungan kejuaraan super middleweight hujung minggu ini di Las Vegas.
Kedua-dua petinju itu mencatatkan berat 167.5 paun. Bagi Crawford, ia merupakan catatan terberat dalam kariernya selepas naik dua divisyen, dari 154 paun ke 168 paun, untuk mencabar kejuaraan milik Alvarez.
Bagi Crawford yang berusia 37 tahun, perlawanan tersebut menjadi detik penentu karier. Anak jati Omaha, Nebraska itu sudah membuktikan dirinya antara petinju paling berpengaruh dalam sejarah terkini sukan tinju, namun hanya menikmati sebahagian kecil pengiktirafan arus perdana berbanding legenda terdahulu.
Alvarez (63-2-2, 39 KO) kini memegang status juara mutlak super middleweight, selepas menewaskan William Scull bagi merampas tali pinggang IBF pada 3 Mei lalu di Riyadh, Arab Saudi.
Manakala Crawford (41-0-0, 31 KO), yang pernah bergelar juara mutlak di light welterweight dan welterweight, berhasrat mencipta sejarah sebagai petinju pertama meraih gelaran juara mutlak dalam tiga divisyen berbeza.-REUTERS
