MUNICH, 13 September - Penyerang Senegal, Nicolas Jackson menyifatkan beraksi untuk Bayern Munich menjadi impiannya sejak sekian lama.
Dua minggu selepas Bayern membawa masuk Jackson secara pinjaman daripada Chelsea sepanjang baki musim ini, dia tampil mempamerkan jersi nombor 11 yang akan disarung untuk penampilan bersama kelab Jerman berkenaan.
Perpindahan itu dilaporkan bernilai 14.3 juta pound.
"Ia bukan perkara yang mudah, saya perlu berdepan laluan sukar sebelum ini.
"Saya yakin saya akan kekal lama bersama Bayern Munich kerana inilah tempat saya idamkan. Saya bangga bersama Bayern," katanya pada sidang media bersama pasukan baharunya, di sini.
Sepanjang Jackson menyertai Chelsea sejak musim panas 2023, dia telah menjaringkan 30 gol dalam 81 penampilan dan membantu pasukan memenangi Liga Konferensi UEFA dan Piala Dunia Kelab, musim lalu.
Penampilannya akan menjadi tonggak tambahan Bayern menjelang saingan Bundesliga bertemu Hamburg SV, pada Sabtu. - REUTERS
