fb fb fb fb fb

Aksi persahabatan: Jepun, Mexico seri 0-0

Foto AFP

OAKLAND, 7 September - Jepun dan Mexico terikat 0-0 dalam perlawanan persahabatan di Coliseum Oakland, pada sabtu ketika kedua-dua pasukan meneruskan persiapan menjelang Piala Dunia 2026.

Pada perlawanan berkenaan skuad 'Samurai biru' tampil lebih agresif, namun gagal menembusi benteng pertahanan lawan.

Manakala Mexico kehilangan kapten Edson Alvarez akibat kecederaan pada babak pertama sebelum Cesar Montes pula dilayangkan kad merah pada masa kecederaan babak kedua.

Jepun hampir membuka jaringan seawal minit ke-11 menerusi rembatan jarak jauh Takefusa Kubo, namun percubaannya berjaya ditangkap kemas penjaga gol Mexico, Angel Malagon.

Pemain AS Monaco, Takumi Minamino turut berpeluang menjaringkan gol pada minit ke-53, namun sepakannya tersasar.

Mexico hanya benar-benar menguji benteng Jepun pada minit ke-67 menerusi tandukan Erik Lira yang ditepis Zion Suzuki, manakala percubaan Hirving Lozano selepas itu juga berjaya disekat.

“Mexico sangat berdisiplin dan sukar untuk ditembusi,” kata jurulatih Jepun, Hajime Moriyasu.

Sementara itu, jurulatih Mexico, Javier Aguirre yang pernah membimbing Jepun pada 2014-2015, menganggap keputusan seri itu adil.

“Separuh masa pertama milik mereka, tetapi kami lebih baik pada babak kedua. Kelajuan dan intensiti mereka mengejutkan kami,” katanya.

Mexico yang layak automatik ke Piala Dunia sebagai tuan rumah bersama Amerika Syarikat dan Kanada, kembali ke puncak prestasi sejak Aguirre mengambil alih pada Julai 2024 dengan menjuarai Piala Emas CONCACAF serta Liga Negara-Negara.

Jepun yang sudah pun mengesahkan tempat lebih awal ke Piala Dunia, akan menentang Amerika Syarikat di Columbus, Ohio, Selasa ini.

Manakala Mexico pula dijadual bertemu Korea Selatan di Nashville, Tennessee. - AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD