fb fb fb fb fb

Aksi menentang Bahrain jadi ukuran

(FOTO FB FAM)

KUALA LUMPUR, 11 Jun- Perlawanan kedua peringkat kumpulan E dengan Bahrain malam ini diibaratkan misi 'serampang dua mata' buat skuad Harimau Malaya.


Mana tidaknya, selain memburu keputusan positif bagi mencerahkan peluang ke Piala Asia 2023, aksi dengan Bahrain ini juga menjadi medan terbaik untuk melihat sejauh mana kehebatan 'sentuhan' jurulatih baharu Kim Pan Gon dalam skuad negara.

Sejak kehadiran Pan Gon, Malaysia telah mencatat lima kemenangan iaitu empat dalam aksi persahabatan ke atas Filipina, Singapura, Brunei dan Hong Kong manakala satu lagi ke atas Turkmenistan dalam kempen kelayakan ini.

Namun, kesemua kejayaan dalam aksi persahabatan itu serta ke atas Turkmenistan dilihat bukan ukuran sebenar tentang kualiti dan kemampuan skuad Harimau Malaya.

Justeru, menentang pasukan yang memiliki reputasi hebat di Asia seperti Bahrain, akan memberi peluang terbaik bagi menilai sejauh mana peningkatan yang telah berjaya dilakukan oleh Pan Gon.


(Pan Gon bersama skuad Harimau Malaya ketika persiapan terakhir semalam menjelang aksi kedua Kumpulan E, Kelayakan Piala Asia 2023 bertemu Bahrain/ FB FAM)

Perlu diakui Bahrain sebuah pasukan hebat berbanding Malaysia.

Namun, kedudukan ranking dunia di antara Malaysia yang jauh di tangga ke-154 berbanding Bahrain di kedudukan ke-89, tidak membawa sebarang makna di atas padang.

Berdasarkan rekod pertemuan, Malaysia tidak pernah menang ke atas Bahrain dengan aksi terakhir tewas 0-2 pada Mei tahun lalu.

Jika menang atau seri dengan Bahrain, ia akan memberi gambaran sebenar tentang kemampuan skuad Harimau Malaya di bawah bimbingan Pan Gon.

Ketika ini, Malaysia dan Bahrain berkongsi tiga mata di kedudukan teratas Kumpulan E selepas masing-masing menang aksi pembukaan, Rabu lepas.

Media Baharu