fb fb fb fb fb

PM saksi perlawanan Malaysia menentang Bahrain

KUALA LUMPUR, 11 Jun- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyaksikan perlawanan kedua Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini, malam ini.

Beliau tiba di gelanggang keramat Harimau Malaya itu pada pukul 8.45 malam dan disambut oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin serta kepimpinan tertinggi badan induk itu.


(PM saksi perlawanan Malaysia menentang Bahrain di Stadium Nasional di Bukit Jalil)

Turut berangkat menyaksikan perlawanan malam ini Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah selain Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang turut hadir di stadium itu.

Kira-kira lebih 60,000 penyokong setia skuad kebangsaan membanjiri stadium termasuk Ultras Malaya yang merancakkan suasana menerusi paluan gendang sambil bersorak dan menyanyi.

Malaysia di kedudukan ke-154 dunia dan Bahrain (ke-89) memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 dengan cemerlang selepas menewaskan lawan masing-masing Turkmenistan 3-1 dan Bangladesh 2-0 di sini pada Rabu lepas sekali gus berkongsi tiga mata di tangga teratas Kumpulan E.

Pada aksi malam ini, pasukan negara kendalian Kim Pan Gon menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata bagi mencerahkan peluang layak ke Piala Asia sementara Bahrain, di bawah bimbingan Helio Sousa, enggan ego mereka tercalar apabila memburu tiga mata.

Sebagai rekod, pertemuan terakhir kedua-dua pasukan pada Mei tahun lepas menyaksikan skuad tuan rumah, yang diberi julukan Dilmun’s Warriors menang 2-0 ke atas Malaysia ketika dibimbing bekas Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe.-BERNAMA

Media Baharu