KOTA KINABALU, 2 September - Sabah FC berjaya mengikat Kuala Lumpur (KL) City FC dengan keputusan dua sama dalam aksi yang berlangsung di Stadium Likas, malam tadi.
Dalam perlawanan tersebut, KL City mendahului seawal minit kelima apabila pemain pertahanan Giancarlo Gallifuoco menanduk kemas bola sepakan percuma kapten Paolo Josue.
Sabah kemudian cuba mengasak bertali arus ke kubu pasukan pelawat dengan beberapa cubaan bahaya ke gawang gol, namun kecekapan penjaga gol lawan Kevin Ray Mendoza berjaya menidakkan percubaan tuan rumah.
(Perlawanan aksi Liga Super antara Sabah FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC
di Stadium Likas)
Mendoza akhirnya tewas dengan asakan Sabah pada minit ke-47 apabila pemain pertahanan kebangsaan Dominic Tan bijak memanfaatkan kesilapan Gallifuoco dan Akram Mahinan yang gagal mengeluarkan bola di depan pintu gol.
Akram menebus kesilapan itu apabila menanduk masuk bola sepakan percuma Josue pada minit ke-61 sekali gus membolehkan KL City FC mendahului 2-1.
Kedudukan itu tidak kekal lama apabila pemain sayap Sabah FC, Saddil Ramdani muncul wira buat pasukannya menerusi gol penyamaan pada minit ke-85.