fb fb fb fb fb

Aksi akhir Piala Malaysia: Sokongan padu walau kehadiran sederhana di stadium

Hannah Yeoh ditemui media selepas merasmikan majlis penutup Konvensyen Rakan Muda / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 27 April- Kehadiran penyokong yang sederhana pada perlawanan akhir Piala Malaysia semalam, tidak memberi gambaran buruk terhadap masa depan bola sepak tempatan, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Menurut beliau, walaupun hanya lebih 50,000 tiket terjual, angka tersebut masih signifikan. Ditambah pula dengan faktor cuaca yang kurang menyenangkan, kehadiran penyokong di stadium semalam boleh difahami.

"Kami telah melaksanakan skrin besar di pelbagai lokasi. Jadi, sekarang peminat bola sepak tahu, kalau mereka tidak dapat hadir ke Stadium Nasional Bukit Jalil, mereka masih boleh mengikuti perlawanan melalui skrin besar di negeri masing-masing.

"Semalam juga, kami ada beberapa lokasi skrin besar, walaupun jumlahnya saya tidak dapat pastikan sekarang. Ini menunjukkan bahawa walaupun mungkin stadium kelihatan kurang penuh, itu tidak bermakna penyokong tidak mengikuti perlawanan," katanya.

Hannah menekankan bahawa sokongan bukan hanya terletak pada kehadiran fizikal di stadium, kerana dengan kemudahan media yang ada, para peminat tetap berpeluang untuk menikmati aksi pasukan kesayangan mereka di mana sahaja mereka berada.

Pada aksi perlawanan akhir malam semalam, Johor Darul Ta'zim (JDT) dinobatkan juara Piala Malaysia 2025 selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan Kementerian Belia dan Sukan menegaskan bahawa dana kerajaan tidak boleh digunakan untuk menaik taraf fasiliti sukan yang terletak di atas tanah milik swasta atau persendirian.

Hannah menjelaskan, kemudahan sukan hanya boleh dibina di atas tanah milik Kerajaan Persekutuan atau dengan persetujuan rasmi daripada kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Tidak mungkin saya boleh gunakan duit orang awam untuk naik taraf fasiliti swasta ataupun fasiliti persendirian. Itu tidak betul," katanya.

Beliau menambah kini, dalam Parlimen, kerajaan menegaskan bahawa setiap fasiliti sukan yang dibina menggunakan dana kerajaan mestilah terletak di atas tanah kerajaan Persekutuan untuk memastikan akses yang lebih terjamin.

Selain itu, Hannah turut menekankan penyelenggaraan fasiliti sukan adalah aspek yang sering menjadi isu selepas kemudahan disiapkan.

"Penyelegran itu penting. Kalau saya bina atas tanah kerajaan negeri tanpa persetujuan kerajaan negeri, mereka mungkin tak mahu terima dan tak mahu selenggara. Kita sudah ada banyak kes seperti ini," kata beliau.

Jelasnya lagi, perancangan masa depan pembangunan fasiliti sukan harus melibatkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan PBT bagi memastikan kemudahan tersebut lebih mampan dan terurus dengan baik.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis penutup Konvensyen Rakan Muda di ibu negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE