LABUAN, 27 April- Cabaran Sukan Laut Antarabangsa Labuan (LISC) 2025 diteruskan hari ini dengan penganjuran dua acara utama sejak awal pagi.
Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek telah merasmikan pelepasan peserta bagi pertandingan kayak mengelilingi Labuan, melibatkan jarak sejauh kira-kira 30 kilometer, bermula di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan.
Seramai 76 peserta mengambil bahagian dalam acara ini, termasuk tujuh peserta dari negara jiran, Brunei Darussalam.
Tiga kategori dipertandingkan iaitu Men's Single, Men's Double, dan Mixed Double.
Selain itu, Simsudin turut merasmikan pertandingan bot laju yang menyaksikan penyertaan seramai 75 peserta, termasuk 12 dari Brunei.
Bagi acara itu, johan bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, naib johan RM2,000, dan tempat ketiga RM1,000.