fb fb fb fb fb

Liga Perdana Inggeris: Liverpool julang kejuaraan kali ke-20

Para pemain Liverpool meraikan kemenangan menjuarai Liga Perdana Inggeris buat kali ke-20 di Anfield / Foto AFP

LIVERPOOL, 28 April-Liverpool membelasah Tottenham Hotspur 5-1 di Anfield untuk mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini, sekali gus menyamai rekod 20 kejuaraan yang dilakukan Manchester United.

Pada perlawanan yang berlangsung di laman sendiri itu, Liverpool dikejutkan dengan gol pendahuluan oleh Spurs menerusi Dominic Solanke pada minit ke-12.

Gol berkenaan tidak mematahkan semangat Liverpool untuk bangkit dan menyamakan kedudukan menerusi Luis Diaz pada minit ke-16.

Tuan rumah kemudiannya mendahului Spurs dengan gol kedua hasil rembatan menarik yang dilakukan oleh Alexis Mac Allister pada minit ke-24.

Penyerang kebangsaan Belanda, Cody Gakpo menceriakan penyokong tuan rumah dengan gol ketiga pada minit ke-34 bagi menjadikan kedudukan 3-1 sebelum rehat.

Bersambung babak kedua, Liverpool meneruskan pesta jaringan dengan gol keempat menerusi Mohamed Salah pada minit ke-63.

Gol berkenaan merupakan gol ke-28 pemain itu musim ini sekali gus berpeluang untuk dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Kasut Emas musim ini.

Liverpool memperoleh gol kelima apabila pemain pertahanan Spurs, Destiny Udogie, tertolak bola ke gawang sendiri pada minit ke-69.

Kemenangan itu meletakkan Liverpool di tangga teratas dengan 82 mata, 15 mata mengatasi Arsenal yang berada di tempat kedua, dengan hanya berbaki empat perlawanan.

Tottenham pula berada dalam kedudukan ke-16 liga selepas kekalahan ke-19 musim ini, sekali gus meletakkan tekanan ke atas pengurus Ange Postecoglou.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD