fb fb fb fb fb

Akaun bank khas bertujuan elak rungutan persatuan sukan

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh /Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 10 November - Permintaan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) membuka akaun bank khas adalah untuk memudahkan penyaluran dana kerajaan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pembukaan akaun berkenaan adalah tanggungjawab asas yang perlu dituruti PSK.

Beliau berkata, ia bertujuan dana yang diberikan kerajaan dapat diaudit dan digunakan bagi membantu atlet.

“Sebelum ini selalunya bila mahu bagi dana kepada atlet elit kita yang bertanding di luar, perlu melalui proses bayaran balik bermaksud kita setuju dulu berapa yang nak ditanggung, PSK bayar dahulu kemudian mereka beri resit, kita bayar.

“Tapi kini kita nak mudahkan persatuan itu… kita beri pendahuluan dulu, tidak perlu dituntut kemudian.

"Contohnya (kita beri) RM100,000, anda (PSK) simpan laporan semua bagaimana anda gunakannya dengan syarat kita mesti ada peluang untuk audit duit yang diberi,” katanya pada sidang media Kejohanan Taekwondo Antara Kelab 2024 di Stadium Titiwangsa, di sini hari ini.

Menurutnya, langkah ini juga akan mengelakkan rungutan daripada PSK yang mempersoalkan mengapa bayaran yang dituntut lambat dibayar.

Hannah memaklumkan, setakat ini sembilan daripada 19 PSK, masih belum membuka akaun bank khas seperti diminta pihaknya setakat ini.

Trainee