fb fb fb fb fb

Ajax lantik Van't Schip sebagai jurulatih baharu

Foto Reuters

AMSTERDAM, 30 Oktober – Kelab Divisyen 1 Belanda, Ajax Amsterdam melantik John van't Schip sebagai ketua jurulatih sementara, seminggu selepas Maurice Steijn meletakkan jawatan, umum kelab berkenaan pada Isnin.

"Ajax melantik John van't Schip sebagai ketua jurulatih sementara. Beliau menandatangani kontrak  bermula 30 Oktober 2023 hingga 30 Jun 2025.

"Pihak pengurusan kelab turut bersetuju untuk melantik Van't Schip sebagai sebahagian daripada pengurusan teknikal kelab mulai 1 Julai 2024." kata kelab itu.

Van't Schip, yang merupakan bekas pemain kelab Ajax Amsterdam memulakan kariernya di kelab berkenaan selama 11 tahun sebelum kembali sebagai penolong pengurus kepada Marco Van Basten.

Van't Schip turut pernah menjadi pengurus sementara kelab Ajax Amsterdam pada 2009.

Ketua Pegawai Eksekutif Ajax, John van Halst menyifatkan pelantikan Van't Schip adalah tepat dan mampu memberi impak dan perubahan kepada prestasi kelab berkenaan.

"John adalah pemain Ajax yang sebenar, yang mempunyai banyak pengalaman kebangsaan dan antarabangsa. Bagi kami dia adalah orang yang tepat untuk memberikan perubahan positif kepada kelab," kata Van Halst.

Sebelum ini, pengurus berusia 59 tahun itu pernah membimbing pasukan kebangsaan Greece selama dua tahun sehingga 2021. Penolongnya Michael Valkanis turut menyertainya di Ajax sebagai pembantu jurulatih.

Ketika ini, Ajax Amsterdam berada di kedudukan tercorot Liga Belanda dengan hanya memungut lima mata daripada lapan perlawanan.-REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN