BARCELONA, 30 Oktober- Atletico Madrid kini mengungguli kedudukan ketiga La Liga sekali gus mengatasi Barcelona, selepas menang 2-1 ke atas Alaves pada Ahad.
Selepas pendahulu liga, Real Madrid menewaskan pasukan Catalan 2-1 dalam Clasico Sabtu lalu, Atletico kendalian Diego Simeone mengambil kesempatan sepenuhnya untuk mendahului skuad kendalian Xavi Hernandez itu.
Atletico mengekori Los Blancos dan Girona di tempat kedua dengan tiga mata, setelah bermain kurang satu perlawanan.
Aksi yang berlangsung di stadium Metropolitano, menyaksikan Rodrigo Riquelme membuka tirai jaringan pada minit ke-26, disusuli gol Alvaro Morata pada penghujung babak pertama.
Morata melencongkan bola ke bahagian atas gawang satu minit sebelum tamat permainan, menewaskan penjaga gol Alaves, Antonio Sivera.
“Bermain di laman sendiri, bersama peminat, kami berasa lebih selesa. Mereka membuatkan kami berasa lebih kuat, kemenangan ini sangat penting untuk kami."
"Kami berada di jalan yang betul, mengharungi perlawanan demi perlawanan dan kami tidak memikirkan tentang jadual liga,” kata Riquelme kepada Movistar.
Gol Alaves disumbangkan Ander Guevara pada masa kecederaan, namun terlalu sedikit masa untuk bangkit.
“Kami jauh lebih baik pada separuh masa kedua, kami sepatutnya bermain seperti itu pada separuh masa pertama.
"Kami tidak mendapat keputusan yang baik di tempat lawan tetapi jika kami bersaing seperti ini, kami mampu ubah keputusan akan datang,” kata pertahanan Alaves, Javi Lopez kepada Movistar.
Atletico kini telah memenangi 14 perlawanan liga berturut-turut di laman sendiri, menyamai rekod sepanjang zaman kelab yang dicatatkan pada 2013 di bekas stadium mereka, Vicente Calderon.
Atletico akan bertemu Las Palmas pada 4 November untuk aksi La Liga seterusnya, sebelum bertemu Celtic pada 8 November bagi saingan kumpulan Liga Juara-Juara UEFA.- AFP