fb fb fb fb fb

Agong, Permaisuri zahir ucapan tahniah kepada skuad terjun negara

KUALA LUMPUR, 12 Mei- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada skuad terjun negara atas kejayaan merangkul kesemua lapan pingat emas yang dipertandingkan dalam acara terjun pada Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam.

Turut menzahirkan ucapan sama Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurut Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan cemerlang yang dicapai sekali gus mempertahankan gelaran juara keseluruhan sukan terjun yang diraih sejak Sukan SEA Myanmar 2013.

”Seri Paduka berdua menzahirkan harapan agar pencapaian cemerlang ini menjadi suntikan semangat kepada atlet lain untuk berusaha dan memberi prestasi terbaik dalam pemburuan pingat emas di temasya tersebut,” demikian menurut Istana Negara menerusi catatan di akaun Facebook rasmi hari ini.

Selain itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada semua atlet dan mendoakan semoga mereka mencapai kejayaan cemerlang.

Pingat emas acara terjun diperoleh Nur Dhabitah Sabri menerusi acara 1 meter (m) papan anjal, Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang (3m papan anjal seirama lelaki), Tze Liang (1m papan anjal), Ng Yan Yee-Ong Ker Ying (3m papan anjal seirama wanita) dan Yan Yee (3m papan anjal wanita).

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah

Turut menyumbang emas adalah Jellson Jabillin-Hanis Nazirul Jaya Surya (10m platform seirama lelaki), Muhammad Syafiq Puteh (3m papan anjal lelaki) dan Datuk Pandelela Rinong-Nur Dhabitah (10m platform seirama wanita).

Skuad terjun juga meraih tiga pingat perak menerusi Kimberly Bong (1m papan anjal wanita), Ker Ying (3m papan anjal wanita) dan Gabriel Gilbert Daim (3m papan anjal lelaki) selain satu gangsa yang diperoleh Bertrand Rhodict (1m papan anjal lelaki).

Media Baharu