fb fb fb fb fb

Suzuki umum hasrat tamatkan kontrak lebih awal, berundur daripada MotoGP

(Suzuki Motor Corporation sedang berbincang dengan Dorna berhubung kemungkinan menamatkan penyertaannya dalam MotoGP pada penghujung 2022)

PARIS, 12 Mei - Suzuki mengumumkan hasrat pasukan itu menarik diri daripada Kejuaraan MotoGP dan sedang mengadakan perbincangan dengan penganjur kejuaraan, Dorna berhubung penamatan kontrak mereka.

“Suzuki Motor Corporation sedang berbincang dengan Dorna berhubung kemungkinan menamatkan penyertaannya dalam MotoGP pada penghujung 2022,” kata Suzuki dalam satu kenyataan.

"Malangnya, keadaan ekonomi semasa dan keperluan untuk menumpukan usahanya kepada perubahan besar yang dihadapi oleh dunia automotif pada tahun-tahun kebelakangan ini, memaksa Suzuki mengalihkan kos dan sumber manusia kepada usaha membangunkan teknologi baharu."

Hanya minggu lepas Dorna berkata Suzuki terpaksa berpegang pada kontrak mereka yang sepatutnya tamat pada 2026 apabila khabar angin mula bertiup kencang bahawa pengeluar Jepun itu mahu menarik diri.

Jika perbincangan itu muktamad, ia akan menjadi kali kedua Suzuki meninggalkan persaingan elit itu.

Suzuki meninggalkan MotoGP pada penghujung 2011, sebelum kembali pada 2015.

(Suzuki mengumumkan hasrat pasukan itu menarik diri daripada Kejuaraan MotoGP/REUTERS)

Dalam era 500cc, Barry Sheene, Marco Lucchinelli, Franco Uncini, Kevin Schwantz dan Kenny Roberts Jr. memenangi gelaran dunia menunggang Suzukis.

Sejak syarikat itu kembali pada 2015, mereka telah memenangi satu gelaran pelumba pada 2020 menerusi Joan Mir manakala rakan sepasukan, Alex Rins di tempat ketiga.

Rins berada di tempat keempat dalam kedudukan musim ini dengan Mir di tempat keenam, menjelang GP Perancis hujung minggu ini.

Laman web pakar Motorsports.com minggu lalu melaporkan, Mir mungkin menyertai Honda bagi menggantikan Pol Espargaro. -AFP

Media Baharu