BANGKOK, 12 Mei - Malaysia, yang merupakan Juara Kumpulan D diundi bertemu naib juara Kumpulan C, India pada aksi suku akhir, 8 malam ini.
Sekiranya berjaya melepasi cabaran tersebut, Malaysia akan berhadapan sama ada Korea Selatan atau Denmark di separuh akhir.
Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia, Dr Tim Jones berkata, skuad negara tidak akan mengambil mudah cabaran dari India, kerana mereka mempunyai barisan pemain yang mantap bagi edisi tahun ini.
“Bagaimanapun, kami merasa yakin selepas berhadapan dengan Jepun dan kami sedia untuk bertemu dengan sesiapa pun pada waktu ini, ayuh , ke suku akihir,” katanya kepada wartawan ketika ditemui selepas sesi cabutan undian itu.
Tim juga gembira menyaksikan kemenangan Malaysia ke atas Juara 2014, Jepun terutamanya aksi hebat Lee Zii Jia menumpaskan Kento Momota yang beliau percaya akan melonjakkan keyakinan pemain itu menjelang perlawanan suku akhir menentang India.