fb fb fb fb fb

Afrika Selatan cipta sejarah, tempah slot suku akhir Piala Dunia Ragbi Wanita

Afrika Selatan menewaskan Itali 29-24 di York, sekali gus menempah tiket pertama ke suku akhir Piala Dunia Ragbi Wanita / AFP

NORTHAMPTON, 1 September - Afrika Selatan melakar kemenangan bersejarah apabila menewaskan Itali 29-24 di York, sekali gus menempah tiket pertama ke suku akhir Piala Dunia Ragbi Wanita.

Kejayaan itu turut menyaksikan Perancis, Ireland dan New Zealand mengesahkan tempat ke kelompok lapan terbaik pada Ahad, selepas England, Kanada dan Scotland mara sehari sebelumnya.

Kini hanya satu slot dari Kumpulan A masih menjadi rebutan dengan Australia dan Amerika Syarikat dalam persaingan.

Dalam aksi Kumpulan D, Afrika Selatan bermula garang dengan mendahului 17-5, namun Itali bangkit hingga kedudukan terikat 24-24 ketika berbaki lima minit. Bagaimanapun, percubaan Sinazo Mcatshulwa memastikan kemenangan Afrika Selatan, yang disambut dengan sorakan penuh emosi.

"Kami datang dengan misi dan berjaya melakukannya. Ini detik bersejarah untuk ragbi wanita Afrika Selatan," kata pemain flyhalf, Libbie Janse van Rensburg.

Dalam satu lagi perlawanan, Perancis berpesta 14 try ketika membelasah Brazil 84-5 di Exeter. Sepuluh pemain berbeza mencatatkan try, termasuk detik bersejarah buat Brazil apabila Bianca Silva menjaringkan try pertama negara itu di pentas Piala Dunia.

Sementara itu, Ireland menundukkan Sepanyol 43-27 dalam perlawanan penuh aksi dengan tujuh try dicatatkan. Anna McGann dan Grace Moore masing-masing menyumbang dua try, manakala tiga lagi disumbang Dannah O’Brien, Amee Leigh Costigan dan Eve Higgins.

New Zealand pula berpesta 62-19 menentang Jepun, hasil hatrik Braxton Sorensen-McGee dan keseluruhan 10 try. Namun, kapten Ruahei Demant mengakui pasukannya masih belum mencapai prestasi terbaik penuh 80 minit.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE