(FOTO theasenfootball)
KUALA LUMPUR, 3 Januari- Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) menggantung pemain pertahanan skuad Harimau Malaya, Azam Azmi Murad dua perlawanan susulan satu insiden pada aksi Piala AFF 2022 berdepan Vietnam di Stadium My Dinh minggu lalu.
Perkembangan itu diumumkan badan induk itu menerusi satu kenyataan hari ini.
Bukan sekadar penggantungan, pemain Terengganu FC (TFC) itu turut didenda sebanyak RM4,390 dan perlu diselesaikan dalam tempoh 30 hari selepas keputusan itu diumumkan.
"Satu penggantungan automatik adalah bagi aksi berdepan Singapura dan baki penggantungan akan berkuatkuasa bagi perlawanan seterusnya di AFF mengikut Artikel 38.2.1 Kod Etika dan Disiplin AFF.
"Denda AS$1,000 (RM4,390) dikenakan berdasarkan Artikel 48.2 Kod Etika dan Disiplin AFF dan pemain itu diberikan amaran supaya tidak mengulangi kesilapan sama bagi mengelak hukuman yang lebih berat.
"Keputusan ini tidak boleh dirayu," menurut kenyataan AFF.
(Insiden membabitkan Azam dan pemain Vietnam, Doan Van Hau
pada perlawanan ketiga Kumpulan B minggu lalu)