(Ketua Jurulatih, Arul Selvaraj)
KUALA LUMPUR, 3 Januari- Skuad hoki negara sudah sedia sepenuhnya bagi menghadapi cabaran saingan Piala Dunia yang akan berlangsung di India,13 hingga 29 Januari ini.
Ketua jurulatihnya, Arul Selvaraj berkata, ketika ini persiapan yang telah dilakukan sudah mencapai tahap 90% termasuk daripada segi mental,fizikal dan teknikal.
Beliau turut memaklumkan ketika ini pasukannya lebih memfokuskan kepada latihan 'set piece' dan pertahanan.
Tambah beliau lagi ketika ini keyakinan pasukan semakin tinggi apabila dua pemain utama sudah kembali beraksi iaitu Muhammad Marhan Jalil dan penyerang muda, Shello Silverius.
Skuad hoki kebangsaan itu akan berangkat ke India pada Jumaat ini.
Sementara itu, Muhammad Marhan Jalil optimis dia dan rakan-rakannya mampu mara sehingga ke suku akhir di Bhubaneswar.
"Untuk Piala Dunia ini kita cuba menempatkan pasukan kita setidaknya di suku akhir. Jadi, apa yang penting kita perlu fokus juga di peringkat kumpulan, dari situ kita boleh nilai diri, kumpul mata demi mata untuk melepasi pusingan seterusnya,"katanya.
Pemain berusia 33 tahun itu juga mengharapkan akan mengaut seberapa banyak mata dalam perlawanan pertama dalam menghadapi Belanda pada 14 Januari ini.
Marhan yang mempunyai 278 kap, patah jari kaki kanan ketika aksi persahabatan menentang Perancis Oktober lalu sekali gus terlepas aksi Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Negara-Negara sebelum ini.
Skuad negara akan menghadapi dua aksi Kumpulan C di Stadium Antarabangsa Birsa Munda, Rourkela menentang Belanda (14 Januari) dan Chile (16 Januari) sebelum bertemu New Zealand di Bhubaneswar pada 19 Januari.
Pencapaian terbaik skuad negara di Piala Dunia adalah tempat keempat di laman sendiri pada 1975, manakala edisi terakhir empat tahun lalu di India menyaksikan skuad negara sekadar di kedudukan ke-15.
(Pemain hoki negara, Muhammad Marhan Jalil)