fb fb fb fb fb

Malaysian Tigress tumpas perlawanan pertama di India

Malaysian Tigress tumpas 0-4 kepada India /Foto FB ASIAN HOCKEY FEDERATION

BIHAR, 12 November - Skuad hoki wanita kebangsaan memulakan kempen Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) Wanita 2024 dengan kekalahan 0-4 kepada juara bertahan India.

Pada aksi di Stadium Hoki Bihar Sports University, Rajgir semalam, pasukan negara dibolosi seawal minit kelapan melalui pukulan sudut penalti yang disempurnakan Sangita Kumari.

Pasukan negara kendalian Mohamed Nasihin Nubli Ibrahim, kemudian dibolosi dua gol berturut-turut juga melalui pukulan sudut penalti masing-masing menerusi jaringan Preeti Dubey pada minit ke-43 dan Udita pada minit ke-44.

Sangita sekali lagi meledak jaringan pada minit ke-55 melalui jaringan padang, sekali gus melengkapkan kemenangan pasukan India kendalian Harendra Singh.

Biarpun tewas, Mohamed Nasihin berkata secara keseluruhannya berpuas hati dengan permainan anak buahnya termasuk tiga pemain muda yang kali pertama mewakili negara dalam saingan antarabangsa.

Mereka adalah Nurathirah Fitriah Syamsul Adzuanizam, Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi dan Nur Aisyah Che Musa.

"Dari segi teknikal kita bermain sangat baik terutamanya di bahagian pertahanan dan kita juga berpeluang menjaringkan gol.

“Apa yang penting sekarang adalah untuk pemain fokus dalam proses pemulihan menjelang pertemuan menentang China yang membelasah Thailand 15-0,” katanya menerusi video yang dikongsi di laman Facebook Konfederasi Hoki Malaysia.

Pasukan Malaysia dijadualkan China, petang ini dan diikuti juara tiga kali Korea Selatan pada Khamis, sebelum bertemu Jepun pada Sabtu dan menutup kempen kumpulan menentang Thailand, Ahad ini.

Hanya empat pasukan teratas layak ke perlawanan separuh akhir, manakala dua pasukan tercorot akan bertarung dalam perlawanan penentuan tempat kelima dan keenam.

Tahun lepas, Malaysia menamatkan saingan ACT Wanita di tempat kelima.

Trainee