KUALA LUMPUR, 13 November- Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sedang mempertimbangkan untuk menaikkan had umur program pembangunan atlet kepada bawah 27 tahun bagi atlet berpotensi berbanding had umur semasa bawah 21 tahun.
Pengarah Teknikal KOM, Robert Ballard menjelaskan berdasarkan data, atlet balapan dan padang mencapai prestasi kemuncak pada lewat 20-an.
Ia berbeza dengan sukan gimnastik dan terjun, dengan kebanyakkan daripada atlet biasanya bersara pada pertengahan usia 20-an.
Menurut Ballard, apabila had umur pelapis dinaikkan mereka akan mempunyai kumpulan bakat yang lebih besar untuk mewakili negara dalam acara antarabangsa.
“Kita akan menggunakan sains sukan dengan kerjasama Institut Sukan Negara (ISN) untuk menganalisis atlet yang mempunyai ciri-ciri yang diinginkan. Saya yakin dalam beberapa tahun, kita akan melihat pencapaian hebat.
“Kita tidak mahu menghukum seseorang hanya kerana mereka tidak mempunyai keupayaan fizikal yang tepat pada masa ini tetapi menunjukkan potensi yang baik.
“Ia bukan hanya mengikut kategori umur tetapi sebenarnya berasaskan prestasi. Mereka perlu memenuhi kriteria tertentu dan mencapai tahap prestasi yang ditetapkan, contohnya layak untuk acara dunia bawah 20 tahun atau kategori junior.
“Dalam budaya Asia yang tipikal, kita matang sedikit lewat berbanding negara lain. Oleh itu, kita percaya bahawa bawah 26 hingga 27 tahun adalah tahap pembangunan yang sesuai,” katanya.