fb fb fb fb fb

Kelayakan Piala Dunia: Arab Saudi harapkan sentuhan Renard untuk kembalikan kegemilangan pasukan

Ketua jurulatih baharu Arab Saudi, Havre Renard / Foto REUTERS

HONG KONG, 13 November-Arab Saudi bakal berusaha menghidupkan semula peluang mereka apabila bakal berdepan Australia dalam pusingan awal Piala Dunia Asia di Melbourne pada Khamis, dengan pasukan 'Helang Hijau' itu berharap dapat melupakan era hambar di bawah Roberto Mancini dengan kembalinya Herve Renard.

Renard kembali mengemudi pasukan buat kali pertama sejak menggantikan jurulatih Itali itu bulan lalu selepas kerjasama selama 14 bulan antara Mancini dan pasukan Arab Saudi berakhir dengan kekecewaan.

Keputusan satu kemenangan, dua keputusan seri dan satu kekalahan dalam empat perlawanan fasa ketiga kelayakan benua Asia untuk Piala Dunia 2026 meletakkan Arab Saudi di tangga ketiga Kumpulan C, ketinggalan di belakang Australia di tempat kedua berdasarkan perbezaan gol dan lima mata di belakang pendahulu, Jepun.

Hanya dua pasukan teratas daripada setiap tiga kumpulan awal Asia yang akan layak secara automatik ke pusingan akhir, manakala pasukan di tempat ketiga dan keempat akan mara ke pusingan seterusnya. Arab Saudi bertekad untuk memastikan kemaraan secara automatik.

Renard, yang pernah mengemudi pasukan ketika Arab Saudi menewaskan Argentina dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia di Qatar 2022, kembali mengambil alih pasukan.

Bagaimanapun, Renard terpaksa menghadapi ketiadaan pemain sayap berbakat, Salem Al-Dawsari, yang menjaringkan gol kemenangan menentang Argentina, setelah pemain Al-Hilal itu terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Namun, pemain tengah berpengalaman Salman Al-Faraj dipanggil semula untuk menguatkan pasukan.

Pasukan Arab Saudi akan berdepan pasukan Socceroos yang mendapat suntikan semangat apabila Tony Popovic mengambil alih tugas dari Graham Arnold bulan lalu, meraih empat mata hasil perlawanan menentang China dan Jepun.

Renard berharap untuk mencatat keputusan positif yang sama ketika menentang Australia dan Indonesia pada Selasa depan.

Jepun yang menduduki tangga teratas akan berdepan Indonesia pada Jumaat Sementara itu, Bahrain akan menjadi tuan rumah kepada China dalam perlawanan lain kumpulan berkenaan.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD