TURIN, 13 November- Pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner semakin hampir mendapatkan slot ke pusingan separuh akhir selepas menyingkirkan pilihan kelima, Taylor Fritz 6-4, 6-4.
Kemenangan kedua berturut-turut dalam Kejohanan Akhir Jelajah ATP di Turin itu meletakkan Sinner pada kedudukan teratas Kumpulan Ilie Nastase.
Menurut Sinner, 23, suasana di Turin memberikannya semangat untuk beraksi.
"Sorakan penyokong banyak membantu saya.
"Saya agak bergelut untuk membalas servis, tetapi saya gembira dengan cara saya mengendalikan situasi ini.
Sinner mengakui perlawanan menentang Fritz adalah sukar, namun perancangannya beraksi dengan agresif membuahkan hasil.
"Kami mengenali antara satu sama lain dengan baik dalam perlawanan akhir Grand Slam, kami tahu dengan tepat apa yang diharapkan, namun saya telah bersedia." katanya ketika ditemui di gelanggang.
Kemenangan tersebut menyaksikan Sinner, akan berdepan pilihan keempat kejohanan, Daniil Medvedev bagi melengkapkan saingan peringkat kumpulan.
Manakala Fritz berdepan pilihan ketujuh, Alex de Minaur yang tewas dalam kedua-dua perlawanan setakat ini. -AFP