PARIS, 13 November-Kelab Stade Rennais telah menamakan bekas Pengurus Chile, Jorge Sampaoli sebagai jurulatih baharu kelab berkenaan menggantikan Julien Stephan sehingga tamat kontrak pada 2026 kata kelab tersebut dalam satu kenyataan.
"Jorge dan stafnya mempunyai visi bagaimana untuk menstrukturkan semula pasukan ini dan pasukan pengurusan turut berkongsi pandangan dan analisis sama untuk meletakkan pasukan bergerak ke hadapan.
"Seorang yang bekerja keras, setia dan menghormati semua orang termasuk insitusi", jelas Ketua Pegawai Eksekutif kelab, Arnaud Pouille dalam kenyataan kelab.
Sepanjang karier sebagai jurulatih, Sampaoli pernah dinobatkan sebagai Jurulatih Terbaik Amerika Selatan pada 2015, selain membawa Chile merangkul kejuaraan Copa Amerika pada tahun yang sama.
Reputasinya sebagai pengendali dianggap mengagumkan dengan melatih beberapa kelab ternama Eropah seperti Sevilla, Olympique de Marseille dan pasukan kebangsaan Argentina.
Pasukan terakhirnya adalah Flamengo di Liga Brazil.
Rennes telah memecat Stephan pada Khamis selepas pasukan tersebut hanya memenangi tiga perlawanan setakat ini.
Mereka tumpas 2-0 di tangan Toulouse di laman sendiri Ahad lalu di bawah kendalian pengendali sementara, Sebastien Tambouret.-REUTERS