(Sesi latihan Harimau Malaya)
KUALA LUMPUR, 3 Januari- Malam ini menjadi penentu misi hidup dan mati skuad Harimau Malaya apabila turun menentang Singapura pada aksi terakhir Kumpulan B Piala AFF, di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Hanya satu matlamat yang perlu dicapai iaitu kemenangan ke atas Singapura di laman sendiri andai impian ke separuh akhir mahu direalisasikan.
Ketika ini Malaysia berada di tangga ketiga di belakang Vietnam dan Singapura dalam perebutan dua slot separuh akhir.
Justeru, menjelang pertemuan dengan 'The Lions' malam ini, Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon menyeru anak buahnya bangkit dengan aksi sebenar, sekali gus menghadiahkan kejayaan buat peminat negara.
"Aksi ini berbeza (dengan perlawanan menentang Vietnam), selama empat minggu bersama mereka, saya lihat pemain semakin matang dan profesional. Jadi saya percaya, esok (malam ini) mereka akan bangkit dengan persembahan yang mantap dan semangat
yang tinggi. Kami mampu beri aksi yang terbaik dan harapnya dapat hadiahkan kemenangan buat peminat kami,"katanya.
Pengendali dari Korea Selatan itu juga percaya semua pemain sudah bersedia memikul tugas masing-masing dalam menembusi taktik bertahan Singapura.
Berdasarkan rekod pertemuan, pencapaian Malaysia ke atas Singapura kurang memberangsangkan dalam kesemua pertandingan sejak kebelakangan ini.
Aksi terakhir menyaksikan Singapura menang 2-1 di laman sendiri pada perlawanan persahabatan tahun lepas, yang juga kekalahan pertama Harimau Malaya di bawah kendalian Pan Gon.
(Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon)