fb fb fb fb fb

Aaron, Wooi Yik dapat ‘durian runtuh’, terima insentif berjumlah RM500,000

KUALA LUMPUR, 7 September- Beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik hari ini menerima insentif berjumlah RM500,000 atas kejayaan mereka merangkul gelaran dunia sulung buat Malaysia, baru-baru ini.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata daripada jumlah itu, mereka menerima RM250,000 setiap seorang daripada badan induk berkenaan serta beberapa penaja rasmi lain. 

Beliau berkata kejayaan dilakar gandingan ranking kelima dunia itu wajar menjadi inspirasi kepada semua pemain badminton negara.

"Kita berada di sini untuk meraikan kejayaan Aaron dan Wooi Yik kerana pencapaian mereka benar-benar cemerlang dan mereka berhak mendapat ganjaran hari ini, saya pasti akan ada banyak lagi insentif.

“Saya juga berbesar hati untuk mengumumkan bahawa mereka telah memperbaharui kontrak sehingga penghujung 2024 dan mereka akan terus memberikan yang terbaik demi kegemilangan negara untuk layak ke Olimpik Paris 2024,” katanya kepada pemberita di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara hari ini. 


(Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria)

Dalam pada itu, Wooi Yik berkata pemberian insentif berkenaan melonjak semangat beliau untuk memastikan slot layak ke Sukan Olimpik 2024 dapat dicapai dengan sokongan dan dorongan badan induk, penaja dan rakyat Malaysia. 

Beliau berkata mereka kini sudah kembali menjalani latihan sejak Isnin lalu untuk meningkatkan tahap ketahanan fizikal dan mental ketika berada dalam gelanggang sebagai persiapan menyertai kejohanan akan datang. 

Sementara itu, Aaron mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang mempercayai kebolehan mereka dan akan terus mempamerkan corak permainan bermutu tinggi. 

Pada 28 Ogos lepas, Aaron-Wooi Yik menewaskan juara dunia tiga kali, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia 21-19, 21-14 untuk menamatkan penantian 45 tahun Malaysia meraih gelaran di kejohanan dunia yang berlangsung di Tokyo, Jepun, sekali gus menjadi wakil negara pertama memenangi pertandingan berprestij itu.

Media Baharu