fb fb fb fb fb

388 atlet sertai Kejohanan Karate Asia ke-19

(FOTO FB Malaysia Karate Federation - MAKAF)

MELAKA, 21 Julai - Seramai 388 atlet daripada 32 negara termasuk penyandang juara keseluruhan, Jepun, akan bersaing pada Kejohanan Karate Asia ke-19 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, bermula hari ini hingga Ahad.

Jepun menampilkan 23 atlet  dan menjadi pilihan utama berdasarkan kejayaannya muncul sebagai juara keseluruhan dengan kutipan lapan emas, dua perak dan tiga gangsa pada edisi tahun lalu di Uzbekistan.

Malaysia selaku tuan rumah pula mempertaruhkan seramai 16 atlet bertanding dalam 16 daripada 17 kategori yang dipertandingkan sepanjang tiga hari kejohanan berlangsung.

Antara atlet negara yang terlibat seperti Zakiah Adnan (kumite wanita 61 kg), Muhammad Arif Afifudin(kumite lelaki 81 kg), Syahirah Amirah Azlan (kumite wanita 68kg), C. Shahmalarani (kumite wanita 50kg) dan Muhammad Aiqal Asmadie (kata lelaki).

Sementara itu, Kejohanan Para Karate Asia Edisi kedua juga akan berlangsung serentak sempena Kejohanan Karate Asia itu.

Presiden Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF), Datuk Nur Azmi Ahma dalam kenyataannya berkata kejohanan itu akan menjadi penanda aras buat para atlet tempatan bagi menghadapi Kejohanan Karate Dunia di Budapest, Hungary, Oktober ini.


(Presiden MAKAF, Datuk Nur Azmi Ahmad/ BERNAMA)

Majlis perasmian hari ini bakal disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dijadualkan jam 4 petang nanti.

Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli Abd Halim.

 

Media Baharu