fb fb fb fb fb

21,000 warga emas disasar sertai Program Senaman Warga Emas 2024

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh

KLANG, 22 Jun - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bakal memperluaskan Program Senaman Warga Emas 2024 ke 120 lokasi seluruh negara bagi terus membudayakan amalan hidup aktif dalam kalangan warga emas.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata peluasan program rintis yang dimulakan sejak Mei lepas itu akan dilakukan menerusi dua fasa penganjuran melibatkan 50 lokasi pada fasa pertama dan 70 lokasi pada fasa kedua.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan 21,000 warga emas menyertai program itu pada penganjuran tahun ini.

"Kenapa kita buat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) kerana kita hendak pastikan ada kebolehcapaian itu kepada golongan b40. Jadi mereka tidak perlu bayar jurulatih dan ianya juga dibiayai oleh kerajaan, warga emas hanya perlu keluar sahaja dan bersenam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Program Senaman Warga Emas 2024 di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas, di sini.

Tambah Hannah, program itu merupakan inisiatif KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) susulan daripada dapatan Sesi Perbincangan Meja Bulat (RTD) Berkaitan Pembudayaan Sukan dalam Kalangan Warga Emas yang diadakan pada 8 Februari lalu.

Katanya, program itu juga dapat meningkatkan kesedaran khususnya kepada ahli keluarga dan penjaga bagi mendorong warga emas untuk terus bersukan dan mengamalkan gaya hidup aktif.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN