fb fb fb fb fb

Jaringan hatrik Heberty Fernandes benam Sri Pahang 3-0

Foto FB MFL

ISKANDAR PUTERI, 22 Jun- Pasukan Johor Darul Takzim (JDT) terus gah di puncak Liga Super selepas mudah menewaskan Sri Pahang FC, 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, petang tadi.

Meskipun tanpa kelibat beberapa penyerang sensasi, namun Heberty Fernandes muncul wira JDT, dengan jaringan hatrik.

Tirai jaringan hadir seawal minit ke-4, menerusi gerakan cantik JDT, yang disudahkan dengan rembatan luar kotak penalti Heberty Fernandes.

Import Sri Pahang, Kpah Sherman hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-33, namun rembatan tepat ke arah gawang JDT diselamatkan penjaga gol, Syihan Hazmi. 

Bersambung babak kedua, JDT terus melebarkan jaringan selepas Heberty Fernandes menjaringkan gol kedua, sejurus menerima hantaran Endrick Dos Santos, minit ke-66. 

Minit ke-86, Heberty kemudiannya mencetak gol hatrik, selepas menghukum kesilapan penjaga gol, Zarif Irfan yang mudah memberi bola kepada penyerang itu, dalam situasi sepakan gol. 

Kedudukan 3-0 kekal hingga wisel penamat. 

Bagi Ketua Jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad, beliau berpuas hati dengan penampilan anak buahnya.

Namun ketumpulan pada bahagian jentera tengah, membuatkan pasukan gagal merencana gerakan berbahaya. 

"Yang saya tahu mereka beri 100 peratus. Itu penting bagi saya. Kombinasi Nikola dan Kpah tidak menjadi walaupun rata-rata pemain bekerja keras cuma saya pasti pemain JDT lebih baik dari kita. Itu tak boleh elak," kata Fandi kepada pemberita.

Pengendali JDT, Hector Bidoglio pula, memaklumkan fokus pasukan kini terarah kepada perlawanan seterusnya, menentang Skuad Universiti Malaysia, dalam saingan Piala FA. 

"Bagi kami ia perlawanan yang penting dan kita perlu fokus dan bermain secara serius. Kita perlu profesional kerana dalam sukan bola sepak, perkara sama takkan berulang setiap perlawanan. Bagi JDT, perlawanan Piala FA seterusnya adalah penting. Kita akan pamerkan potensi dan taktikal terbaik," kata Hector kepada pemberita.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM