Slovakia, Hungary fail saman terhadap EU susulan larangan gas Rusia

Gambar hiasan AFP

MOSCOW, 27 Januari – Slovakia bersama-sama Hungary memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Eropah berhubung larangan mengimport gas dari Rusia ke Kesatuan Eropah (EU), kata Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico, pada Isnin, sambil menyifatkan larangan itu sebagai satu perkara “mengarut” yang berteraskan ideologi, lapor Sputnik/RIA Novosti.

RINGKASAN BERITA AI
  • Slovakia dan Hungary memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Eropah berhubung larangan import gas dari Rusia.
  • Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico, mengecam larangan itu sebagai ideologi karut.
  • Fico mendakwa Suruhanjaya melanggar prinsip keputusan sebulat suara dalam isu serius.
  • Hungary akan rayu ke Mahkamah Keadilan EU untuk membatalkan pelan RePowerEU.

Terdahulu pada hari yang sama, Menteri Luar Hungary, Peter Szijjarto berkata, Hungary akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Keadilan Kesatuan Eropah bagi membatalkan pelan RePowerEU, yang melibatkan larangan import gas dari Rusia ke blok berkenaan.

“Ini adalah sememangnya satu lagi ideologi karut. Saya bangga dengan Slovakia kerana kami mengundi menentangnya… saya juga bangga bahawa bersama-sama Hungary, kami memfailkan saman terhadap Suruhanjaya Eropah, yang secara terang-terangan melanggar prinsip bahawa dalam kes ini sepatutnya terdapat keputusan sebulat suara, bukannya menggunakan majoriti berkelayakan untuk meluluskan sekatan yang serius seumpama ini,” kata Fico dalam satu kenyataan media yang disiarkan oleh Televisyen dan Radio Slovak (STVR). – BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI