fb fb fb fb fb

Tiada perbincangan persiapan PRK DUN Mahkota buat masa ini

Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KULAI, 4 Ogos - Hala tuju UMNO akan diperhalusi selepas kekosongan kekosongan kerusi Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota diisytiharkan, secara rasmi. 

Buat masa ini Setiausaha Agung UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu mengambil tempoh bertenang bagi memberi penghormatan atas pemergian ADUN Mahkota, Datuk Sharifah Azizah Syed Zin kelmarin. 

Bagaimanapun, tiada sebarang perbincangan berhubung persiapan mendepani Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan memandangkan pihaknya juga masih dalam keadaan berduka-cita, ketika ini.

"Kalau diisytiharkan kerusi itu kosong dan perlu adakan pilihan raya, insya-Allah UMNO akan meletakkan calon kita. Tetapi buat masa ini kita masih berduka cita dengan kehilangan wirawati kita dan tokoh pemimpin wanita UMNO Johor yang amat kita segani," kata Asyraf Wajdi.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakiln UMNO Bahagian Kulai, di sini.

Sharifah Azizah, 63 tahun, disahkan meninggal dunia di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, di Kluang pada pukul 12.30 tengah hari, kelmarin. 

Allahyarham sebelum itu dilaporkan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat pendarahan dalaman.

Sharifah Azizah yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kluang sejak 1993 merupakan bekas Ketua Wanita UMNO Johor, dan memenangi kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022. Sebelum itu, Sharifah Azizah adalah ADUN Penawar dari 2018 hingga 2022.

Beliau adalah anak kepada Allahyarham Datuk Syed Zain Idrus Shahab Al-Haj yang merupakan bekas Speaker DUN Johor paling lama berkhidmat, iaitu dari 1978 hingga 1990.

TETITIA YUSOFF