fb fb fb fb fb

Sungai Buloh pertarungan paling sengit dalam karier politik saya -Khairy

(Khairy bersama penyokong selepas penamaan calon Parlimen Sungai Buloh/FOTO FB KHAIRY JAMALUDDIN)

SUNGAI BULOH, 5 November- Pertembungan tujuh penjuru di Parlimen P107 Sungai Buloh menjadi persaingan sengit buat calon Barisan Nasional, Khairy Jamaluddin dalam karier politiknya.

Bagaimanapun, wakil rakyat Rembau selama tiga penggal itu berkata beliau tidak menganggapnya sebagai satu kelemahan tetapi sebagai cabaran untuk membawa perjuangan Barisan Nasional (BN) ke kawasan bandar.

“Saya menang tiga pilihan raya berturut-turut di Rembau, sekarang saya bertanding di kawasan yang kami kalah tiga pilihan raya berturut-turut. Tetapi saya menyahut caburan dan berharap penduduk Sungai Buloh akan memberi peluang kepada saya.

“Saya berharap dapat berkhidmat kepada rakyat Sungai Buloh dan juga berharap masyarakat Sungai Buloh dapat membantu saya berkhidmat untuk negara,” katanya kepada pemberita selepas mengemukakan pencalonannya di Dewan Kenanga, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling di sini.

Mengulas lanjut masa depan karier politiknya, Khairy berkata beliau belum sedia untuk bersara.

(Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen P107 Sungai Buloh Khairy Jamaluddin menghantar borang
pencalonan di Pusat Penamaan Calon di Dewan Kenanga, Pejabat Daerah dan Tanah Petaling
sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) hari ini/FOTO FB KHAIRY JAMALUDDIN)


Pada masa sama, beliau yang juga Menteri Kesihatan, berharap kempen pilihan raya pada kali ini dijalankan dengan cara terbaik dengan persaingan sihat.

"Selepas ini ramai rakyat bebas untuk memilih calon pilihan mereka dan saya yakin di Sungai Buloh ini kita semua akan menjalankan kempen masing-masing dengan tertib, kempen yang positif, yang sihat.

"Saya sempat berjumpa dengan semua calon dan Alhamdulilah nampak bahawa kita akan kendalikan kempen dengan penuh disiplin dan penuh tertib, Insya-Allah," katanya.

Khairy sebelum ini merupakan penyandang kerusi parlimen Rembau, namun pada PRU15 tidak mempertahankan kerusi berkenaan yang disandangnya sejak 2008 selepas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, bertanding bertanding menggantikannya.

Media Baharu