fb fb fb fb fb

55 calon rebut 14 kerusi parlimen di Pahang, ketengah muka baharu

KUANTAN, 5 November- Seramai 55 calon sah bertanding bagi merebut 14 kawasan parlimen di negeri Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bulan ini.

42 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) pula bakal menyaksikan 150 calon bertanding, seperti disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Barisan Nasional (BN) Pahang menampilkan 35 muka baharu daripada keseluruhan 56 calon yang akan mewakili parti itu pada hari pengundian PRU15, 19 November ini.

Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob masih mempertahankan kerusi parlimen Bera yang disandangnya sejak 2004.

Pada PRU kali ini, saingan melibatkan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Sementara itu, bekas Presiden MCA, Tan Sri Liow Tiong Lai kembali diberi peluang mempertahankan kerusi yang pernah dimenanginya di Parlimen Bentong. Parlimen itu menyaksikan pertembungan lima penjuru antara calon PN, PH dan dua calon Bebas.

Lapan calon muka baharu ditampilkan pada PRU kali ini daripada keseluruhan 14 kerusi parlimen di Pahang.

Antara muka baharu yang diketengahkan ialah Datuk Seri Sheikh Mohammad Puzi Sheikh Ali di kawasan Parlimen Pekan menggantikan penyandang sebelum ini iaitu Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Parlimen Pekan menyaksikan pertembungan lima penjuru membabitkan calon daripada PN, PH, Pejuang dan Bebas.

Bagi kerusi DUN pula, 27 daripada 42 kerusi merupakan calon baharu.

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail masih mengekalkan kerusi di DUN Jelai yang disandang beliau sejak 2004, menyaksikan pertembungan tiga penjuru pada PRU kali ini membabitkan calon daripada PN dan PH.

Antara calon baharu bagi kerusi DUN yang menjadi perhatian itu ialah Ketua Pemuda UMNO Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Peramu Jaya.

Calon BN Pahang pada PRU15 kali ini diangkat daripada pelbagai peringkat usia. 30% daripadanya adalah calon muda berusia bawah 45 tahun.


(Bandar Kuantan/Foto Hiasan)

Sementara itu, Perikatan Nasional (PN) Pahang mempertaruhkan 56 calon untuk bertanding di semua kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada PRU kali ini.

Daripada keseluruhan calon, lebih 30% terdiri daripada calon muda dan dua calon wanita.

PN Pahang pula bertanding di semua 14 kerusi parlimen dengan tujuh kerusi ditandingi calon daripada PAS serta tujuh lagi daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah juga mengekalkan kerusi yang dimenanginya pada PRU14 lalu, atas tiket PKR di Parlimen Indera Mahkota.

Beliau kali ini bertanding sebagai wakil Bersatu bawah gabungan parti PN.

Bagi kerusi DUN, PAS bertanding di 24 kerusi, Bersatu (13 kerusi) dan Gerakan (5 kerusi).

Pakatan Harapan (PH) pula meletakkan 14 calon bagi kesemua kerusi Parlimen dan DUN di negeri Pahang.

Parti Tindakan Demokratik (DAP) salah satu komponen bawah PH, kali ini menampilkan tiga calon Melayu untuk bertanding di kerusi Parlimen dan DUN.

Penyandang DUN Ketari, Young Syefura Othman diangkat ke Parlimen Bentong untuk menentang bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Liow Tiong Lai.

Bagi kerusi DUN, parti terbabit meletakkan Muhamad Khairil Khalil antara calon baharu parti itu bertanding di DUN Pulau Manis, manakala ‘otai’ parti DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji turut diumum bertanding di DUN Tras.

Menariknya, calon paling muda di negeri Pahang mewakili parti DAP iaitu Ho Chi Yang, 27 tahun yang juga bekas setiausaha politik kepada Penyandang DUN Tanah Rata.

Pahang antara negeri yang pertama mengumumkan pembubaran DUN diikuti Perlis dan Perak bagi melaksanakan Pilihan Raya Umum yang ke-15 (PRU15) secara serentak.

Pahang juga antara negeri yang masih dianggap kubu kuat BN kerana ia antara negeri yang tidak jatuh kepada PH pada PRU14 lepas; buat pertama kali BN tumbang dalam arena politik tanah air.

Pahang yang ditadbir BN selepas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 menyaksikan BN menang 25 daripada 42 kerusi DUN manakala Pakatan Harapan (sembilan) dan PAS (lapan).

Media Baharu