fb fb fb fb fb

PRK Sungai Bakap: Platform media sosial dimanfaat sepenuhnya calon bertanding

Foto RTM

SUNGAI BAKAP, 27 Jun- Penggunaan platform media sosial seperti Facebook, TikTok dan Instagram dimanfaat sebaik mungkin oleh calon yang bertanding di DUN N.20 Sungai Bakap, Pulau Pinang.

Platform tersebut dilihat berkesan dalam mempamerkan gerak kerja masing-masing kepada khalayak.

Calon Pakatan Harapan (PH), Dr. Joohari Ariffin mengakui bahawa medium berkenaan merupakan alternatif dalam mendekatkan dirinya kepada pengundi-pengundi di kawasan terbabit, selain kempen secara fizikal terus dipergiat.

Selain peka akan permasalahan rakyat secara telus, platform tersebut lebih pantas dalam menarik minat golongan sasar dalam menyampaikan hasrat serta aspirasi kerajaan.

Pelbagai pengisiaan dimuat naik antaranya aktiviti ceramah, tinjauan mesra serta aktiviti ziarah penduduk sekitar.

"Kedua-duanya berkesan namun ia ada kumpulan sasar yang tersendiri. Penggunaan media sosial ini memudahkan dan seronok kerana ia tidak hanya digunakan oleh golongan muda sahaja tetapi turut diguna pakai mereka yang berada dalam lingkungan usia 40-an ke atas."

Bagaimanapun, kita tetap laksanakan kaedah bersemuka dengan pengundi. Meski ia adalah konvensional namun sangat berkesan," kata Dr. Joohari kepada pemberita.

Perkara sama turut dipersetujui calon daripada Perikatan Nasional (PN), Abidin Ismail.

Ujarnya, penggunaan teknologi itu membantu gerak kerja pasukan mempamerkan aktiviti kempen beliau bersama penduduk sekitar.

Dalam pada itu, Dr. Joohari Ariffin memaklumkan bahawa kira-kira 50 peratus penduduk di kawasan itu telah disantuni, meski hanya baru seminggu kempen bermula.

Beliau yang lebih selesa disapa Cikgu Joohari, yakin dapat bertemu baki sebahagian lagi penduduk sebelum tamat tempoh berkempen.

Aktiviti ziarah dari rumah ke rumah antara yang menjadi pilihan bagi mendekati masyarakat.

"Insya-Allah kita sudah mula ziarah dari rumah ke rumah. Kita dapat selami kehidupan masyarakat, ada yang sakit, ada yang OKU."

"Jadi, kita cuba menyantuni semua penduduk dan masyarakat. Saya rasa setakat ni kita punya kempen semakin menarik, saya akan cuba untuk sampai ke tiap-tiap pintu rumah," tambah Dr. Joohari.

Selain kempen harian, beliau juga memilih walkabout di pasar-pasar tani dan pasar malam bagi bertemu penduduk.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM