NIBONG TEBAL, 27 Jun-Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan kempen menggunakan jentera kerajaan semasa musim pilihan raya tidak menjadi kesalahan
Malah segala kenyataan beliau mengenai perkara tersebut juga berpandukan kepada keputusan mahkamah.
"Saya sudah lama mengikuti PRK dan saya hadir hampir semua PRK sejak 1990 kecuali satu di Batang Ai, Sarawak.
"Sudah berapa banyak pilihan raya kecil. Tak kan, setiap kali, kerajaan tidak boleh berbuat apa-apa.Kerajaan perlu berfungsi.Mereka juga boleh buat apa-apa pengumuman dimana-mana pun mereka hendak melaksanakannya", katanya ketika ditemui selepas program Ceramah Perpaduan di tapak Pasar Malam Sungai Duri di sini pada Rabu.
Bersih baru-baru ini mempersoalkan kenyataan Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya yang menganggap adalah tidak salah bagi menteri atau kementerian menganjurkan program atau mengumumkan peruntukan semasa PRK berlangsung.
Sementara itu, Ahmad Maslan menyifatkan jentera UMNO Pulau Pinang memainkan peranan yang baik dalam membantu kempen calon Kerajaan Perpaduan bagi PRK Sungai Bakap Dr Joohari Ariffin.
Ini dibuktikan apabila kesemua anggota parti dari bahagian dan negeri angkat yang dibawa memainkan peranan dengan bersungguh sungguh mengikut kawasan yang ditetapkan.
"Negeri angkat Perlis, Kedah dan Perak ramai telah turun (ke Sungai Bakap) dan berada di rumah sewa dan saya kira ini SOP (prosedur operasi standard) biasa mana-mana PRK.kesungguhan jentera UMNO-BN (Barisan Nasional) amat terserlah.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai keseimbangan kempen antara calon Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN), dia menjelaskan kedua-dua calon berusaha keras kerana satu pihak berusaha untuk menang manakala satu pihak lagi cuba mempertahankan kerusi milik mereka.
"Pembangkang juga berusaha .Kami juga berusaha.
"Tidak ada sebarang manfaat jika diberi kepada pembangkang untuk menyelesaikan masalah, contoh macam hari ini masalah kenderaan berat lalu kawasan perumahan yang menjejaskan keselamatan, kehidupan dan kesihatan penduduk", katanya.