SUNGAI BAKAP, 30 Jun- Memasuki hari kelapan berkempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap, Pakatan Harapan (PH) terus giat menjalankan aktiviti kemasyarakatan bagi meraih undi buat calon PH, Dr Joohari Ariffin.
Timbalan Ketua Wanita PH, Fadhlina Sidek berkata kempen pada hari itu diteruskan dengan mendekati golongan sasar khususnya wanita.
"Jadi secara keseluruhannya kempen hari ini khususnya pada Sabtu dan Ahad ini tertumpu kepada program-program kemasyarakatan bersama pengundi, khususnya untuk terus meraih undi bagi kemenangan calon nombor satu, calon Kerajaan Perpaduan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Fisioterapi dan Penjagaan Wajah Wanita bertempat di Taman Puteri Gunung, Sungai Bakap.
Terdahulu, beliau memaklumkan menghadiri program Majlis Minum Petang Sahabat Permatang Pauh bersama Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di sebuah hotel di Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berkata pihaknya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri petang tadi mengenai jaminan Matrikulasi kepada semua lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mendapat keputusan 10A, tanpa mengira kaum dan wilayah.
Fadhlina berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi membuat tindakan susulan.
Ia merupakan inisiatif dalam memastikan akses pendidikan berkualiti kepada semua tanpa menjejaskan kuota Bumiputera.
"Saya bersama dengan Menteri Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir akan bersama-sama untuk meneliti perkara ini.
"Insya-Allah kita akan susul tindak dengan pengumuman yang lain bagi menjamin pendidikan semua pihak tanpa mengira latar belakang dan kaum.
"Jadi tahniah untuk anak-anak semua, kita harapkan dengan jaminan itu, tiada kegusaran khususnya di peringkat Matrikulasi, kuota dikekalkan, dalam masa sama, peluang pendidikan itu cukup luas.
"..Dan kita akan pastikan semua dapat tempat untuk lanjutkan pengajian masing-masing," katanya.