fb fb fb fb fb

PRK Sg Bakap: Kerjasama erat PH-BN jadi jambatan kemenangan calon PH

Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad merasmikan Pesta Durian dan Buah-buahan Tempatan anjuran Jabatan Pertanian Pulau Pinang di Sungai Jawi

SUNGAI BAKAP, 30 Jun - Kerjasama erat antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap menjadi jambatan untuk kemenangan calon PH Dr. Joohari Ariffin.

Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata berbaki berapa hari lagi tempoh kempen, pergerakan jentera akan terus dimantapkan.

"Jentera setempat dan jentera negeri memainkan peranan penting untuk meraih undi dan memberi pemahaman mengenai masalah setempat.

"Usaha untuk menerangkan dasar kerajaan dan tawaran khusus untuk Sungai Bakap akan diteruskan bagi menyakinkan lebih ramai pengundi.

"Penduduk di sini mahukan satu penyelesaian kepada masalah yang dihadapi selama ini.

“Jadi memandangkan kita (Kerajaan Perpaduan) adalah pemerintah di peringkat Persekutuan maka kami yakin mampu menjadi jambatan antara masyarakat di sini dan juga kerajaan negeri,” katanya selepas merasmikan Pesta Durian dan Buah-buahan Tempatan anjuran Jabatan Pertanian Pulau Pinang di Sungai Jawi, di sini hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari mengundi awal bagi PRK DUN Sungai Bakap pada 2 Julai ini manakala hari mengundi 6 Julai, dengan kempen akan berlangsung selama 14 hari bermula hari ini hingga 11.59 malam 5 Julai.

PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.

GRACE AISYAH KEDAYAN