fb fb fb fb fb

PRK Nenggiri: UMNO akan letak calon bertanding

Foto BERNAMA

LIPIS, 29 Jun- Parti UMNO mengumumkan akan meletakkan calonnya bagi bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) N43 Nenggiri, Kelantan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagi tujuan itu UMNO telah melantik Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengarah PRK itu yang dibantu Pengarah Operasi, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Tambah Ahmad Zahid, gabungan pemimpin negeri dan tempatan itu diyakini mampu mengemudi jentera UMNO sebaiknya seterusnya diyakini mampu memenangi kerusi DUN berkenaan.

"Bahawa UMNO akan meletakkan calonnya bertanding di Nenggiri.

"Insya-Allah kalau kita bekerja keras, bekerja ikhlas, Allah SWT akan memberikan kemenangan kepada kita.

"Semalam Pengerusi Perhubungan Kelantan telah bertemu Ketua UMNO Bahagian Gua Musang.. saya telah melantik Yang Mulia Tengku Razaleigh sebagai pengarah PRK itu dan pengarah operasinya ialah Datuk Jazlan, ada pemimpin tempatan, ada pemimpin negeri," katanya ketika berucap pada Majlis Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Lipis di Dewan Jubli Perak di sini.

Dalam pada itu katanya, jentera UMNO Pahang juga akan digerakkan bagi membantu PRK tersebut.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK tersebut pada 17 Ogos depan.

Tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 3 Ogos manakala bagi pengundian awal ditetapkan pada 13 Ogos.

Ini berikutan Mohd Azizi Abu Naim gugur keahlian BERSATU dan kerusi DUN berkenaan diumumkan kosong pada 19 Jun lalu oleh Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah.

BERITA BERKAITAN:

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM