SUNGAI BAKAP, 29 Jun- Isu kos sara hidup dan masalah air menjadi antara perhatian utama kerajaan dalam membantu masyarakat di Kampung Sungai Bakap, Pulau Pinang.
Timbalan Menteri Pembangunan, Usahawan dan Koperasi, Datuk Ramanan Ramakrishnan berkata, masalah tersebut lebih mudah diatasi jika mandat diberikan kepada calon sehaluan kerajaan pada pilihan raya kecil (PRK) minggu depan.
"Beban kos sara hidup yang sedang mereka alami... itu bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia. Tambah pula selepas Covid-19. Tetapi Kalau kita lihat satu isu khususnya kepada penduduk Sungai Bakap ini adalah isu air.
"Tetapi, isu air ini kita telah beri penjelasan dan kita telah memberi mereka satu jalan penyelesaian yang telah dan sedang diusahakan oleh kerajaan negeri", katanya.
Beliau ditemui media selepas sesi Sembang Santai Vanakam MADANI di Sungai Bakap Pulau Pinang.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Penerangan 1 Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, komuniti India di situ perlu membuat pemilihan tepat untuk mengangkat wakil rakyat yang mampu mengemudi pembangunan yang lebih baik.