fb fb fb fb fb

Dr. Joohari lancar iltizam PADU untuk penduduk Sungai Bakap

Foto BERNAMA

SUNGAI BAKAP, 30 Jun- Calon Pakatan Harapan (PH) PRK DUN Sungai Bakap, Dr. Joohari Ariffin menggariskan empat teras utama dalam iltizamnya (manifesto) iaitu PADU kepada penduduk, malam tadi.

PADU merangkumi P sebagai Pasarana dan Progresif, A pula adalah Akhlak, Akademik dan Anak Muda manakala D ialah Damai dan U membawa makna Untuk Semua.

Selain itu, beliau turut memastikan projek-projek infrastruktur air dan lalu lintas seperti projek Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Kerian, dan Projek Air Perak-Pulau Pinang antara yang terkandung dalam teras berkenaan.

Dr Joohari atau lebih mesra disapa Cikgu Joohari juga menyasarkan untuk menjadikan Sungai Bakap sebagai pusat pengeluaran produk mikro halal.

Tidak cukup dengan itu, pendidikan percuma seperti tuisyen rakyat dan menaik taraf fasiliti sukan antara yang menjadi keutamaan.

Pelancaran itu seiring visi Sungai Bakap Maju, Inklusif dan Harmoni, berserta misi memperkukuh perpaduan rakyat sebagai rakan kongsi pembangunan melalui pelbagai sektor, beliau yakin bahawa kesemua iltizam itu mampu dilaksanakan sekiranya diberi peluang.

"Saya akan cuba menjelaskan kepada masyarakat bermula dengan PADU itu. Saya nak yakinkan bahawa perkara tersebut bukan satu perkara yang mustahil kalau saya dilantik di peringkat DUN ini yang mana kita adalah sealiran dengan Persekutuan."

"Saya menyatakan komitmen saya bahawa saya akan berusaha bersungguh-sungguh, kita akan pastikan ia dapat dilaksanakan dalam penggal saya bertugas, jika dipilih," kata Dr. Joohari kepada pemberita selepas Ceramah Perpaduan dan Pelancaran Iltizam Cikgu Joohari PRK Sungai Bakap.

Hadir sama, Menteri Ekonomi merangkap Naib Presiden Keadilan, Rafizi Ramli, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri 1, yang juga Pengarah Pilhan Raya PH bagi PRK Sungai Bakap, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid.

Dalam pada itu, Datuk Mohamad Abdul Hamid, yakin undi ahli UMNO akan kembali kepada calon Kerajaan Perpaduan pada 6 Julai nanti.

Tambahnya, jentera perpaduan akan terus bekerja kuat menyantuni pengundi dalam tempoh baki kempen.

Dalam perkembangan lain, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution menegaskan bahawa Kerajaan Madani bersifat terbuka dan menghormati hak untuk berkumpul mahupun berhimpun secara aman.

Tambahnya, kerajaan turut bersedia menerima teguran dan kritikan secara terbuka.

Saifuddin mengulas berkaitan himpunan 'Demo Rakyat Lawan Anwar' yang berlangsung di Putrajaya pada Sabtu.

"Kelompok ini berkata suara mereka disekat dan tiada kebebasan bersuara. Kebebasan yang mereka nikmati hari ini adalah bukti segala-galanya bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menghormati hak setiap rakyat," kata Saifuddin kepada pemberita.

Himpunan yang disertai tidak lebih 100 orang itu bertujuan untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menurunkan harga diesel serta mengembalikan bekalan beras putih tempatan dan membenarkan pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM