fb fb fb fb fb

PRK Mahkota: Pesanan arwah bapa jadi pendorong - Calon BN

Syed Hussein Syed Abdullah

KLUANG, 14 September- Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah menyatakan bahawa pesanan terakhir bapanya, Allahyarham Syed Abdullah Syed Abdul Hamid, yang meninggal dunia lima hari lalu memberikan dorongan kuat untuk beliau bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Mahkota, 28 September ini.

"Insya-Allah pesanan terakhir Allahyarham akan menjadi bekalan dan suntikan semangat untuk saya.

"Ketika ini kami sedang fokus gerak kerja dan saya akan jadi yang terbaik untuk semua penduduk Mahkota," katanya ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini pagi tadi.

Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan rasa syukur atas kelancaran proses penamaan calon hari ini tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Ahmad Zahid juga menekankan bahawa Syed Hussein yang berusia 40 tahun adalah calon terbaik untuk menarik sokongan pengundi muda dengan lebih 51% pengundi terdiri daripada golongan muda.

"(Selain itu) beliau mempunyai pemahaman yang mendalam tentang budaya dan pemikiran pengundi Cina, yang merangkumi 38% daripada jumlah keseluruhan pengundi," katanya kepada pemberita selepas mengiringi Syed Hussein ke Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini.

Dalam masa sama, PRK Mahkota menyaksikan pertembungan antara BN dan Perikatan Nasional (PN) yang mana BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien bagi mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas, manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis menilai bahawa kedua-dua calon mempunyai kelebihan tersendiri dalam kepimpinan peringkat tempatan.

"Kedua-dua calon yang bertanding mewakili parti masing-masing mempunyai kekuatan dan pengalaman yang unik. Mereka perlu menggali kekuatan ini untuk menarik sokongan, terutamanya daripada golongan muda yang hampir 52% di Mahkota," katanya ketika dihubungi RTM.

BERITA BERKAITAN

SITI AISHAH MD ISA