KLUANG, 14 September- Pertembungan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini disahkan selepas dua calon utama menyerahkan kertas pencalonan mereka pagi tadi.
BN mempertaruhkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lepas, manakala PN meletakkan bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.
Mereka diumumkan sebagai calon yang layak bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Azurawati Wahid selepas proses penamaan calon yang berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di sini tamat pada 10.00 pagi.
"Saya telah menyemak kertas-kertas pernamaan dan setelah selesai disemak saya berpuas hati memutuskan tiada yang ditolak kertas penamaannya," katanya pada sidang media di sini.
Azurawati memaklumkan Syed Hussien yang diiringi seorang pencadang dan penyokong menyerahkan borang pencalonan pada 9.00 pagi, diikuti Mohamad Haizan lima minit kemudian.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.
BERITA BERKAITAN