fb fb fb fb fb

Gelanggang PRK Mahkota dibuka hari ini

Foto: BERNAMA

KLUANG, 14 September- Proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri Mahkota bakal berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di sini hari ini.

Proses penamaan calon bermula pada 9 pagi dengan calon diberi tempoh sejam untuk menyerahkan borang pencalonan sebelum nama calon yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Azurawati Wahid dijangkakan sekitar 11 pagi.

Selepas itu, calon terlibat mempunyai tempoh 14 hari untuk berkempen bagi meraih sokongan, iaitu sehingga 11.59 malam 27 September ini, diikuti hari pengundian pada 28 September manakala undi awal ditetapkan pada 24 September.

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor, Nor Nekman Jaimon berkata, lapan borang pencalonan telah dibeli, setakat 12 September lepas.

Beliau barkata pihak penyokong dan calon bertanding diingatkan untuk mematuhi peraturan ditetapkan semasa proses penamaan calon hari ini.

"Bagi penyokong yang akan mengiringi calon-calon ke pusat penamaan calon, kita mohon supaya calon-calon mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa terutamanya PDRM yang dibantu oleh rakan-rakan kita daripada RELA, APMM dan juga agensi-agensi lain," katanya.

DUN Mahkota merupakan satu daripada dua DUN bawah Parlimen Kluang.

Barisan Nasional (BN) mengumumkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, sebagai wakil Kerajaan Perpaduan pada PRK itu.

Manakala Perikatan Nasional (PN) memilih bekas pemain bola sepak Johor FA, Mohamad Haizan Jaafar, 61, sebagai calon.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan seramai 66,318 pengundi berdaftar layak menunaikan tanggungjawab pada PRK itu, terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,510 tentera serta pasangan, 401 polis dan 10 orang PTH (pengundi tidak hadir) luar negara.

Sehubungan itu, SPR membuka tiga pusat mengundi dengan 11 saluran bagi pengundian awal, manakala 20 pusat mengundi dengan 109 saluran akan dibuka pada hari pengundian, dengan jumlah petugas terlibat pada PRK itu seramai 1,126 orang.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada pilihan raya negeri sebelum ini, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI