KEMAMAN, 1 Disember - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 70 peratus daftar pemilih keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, pada Sabtu.
Ini mengambil kira peratusan mengundi Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dan faktor cuaca.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata setakat ini proses bagi pilihan raya itu berada pada tahap maksimum dan berjalan lancar.
Beliau berkata, lebih 2,000 petugas dari pelbagai agensi akan terlibat secara keseluruhan bagi memastikan perjalanan proses pilihan raya, lancar dan terkawal.
"Untuk besok (Sabtu) saya berpesan kepada semua pengundi, dapat membawa kad pengenalan masing-masing dan kita berharap sangat-sangat pada semua pengundi-pengundi di Kemaman dapat keluar mengundi dan kita mengharapkan peratus keluar mengundi dapat ditingkatkan.
"Keputusan, InsyaAllah kita ada sistem yang baharu, kalau sistem itu berjalan akan awallah tapi dijangkakan macam kebiasaan kita terpaksa tunggu peti-peti undi, saya rasa dalam pukul 9 lebih kurang," Katanya.
Beliau ditemui semasa meninjau persediaan akhir proses menyemak peti undi untuk hari pengundiaan bagi PRK Kemaman, di sini.
PRK Parlimen Kemaman melibatkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan 49 pusat pengundian.