fb fb fb fb fb

PRK DUN Nenggiri: Ku Li taruh harapan UMNO letak calon muda

Ketua Bahagian UMNO Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah

GUA MUSANG, 13 Julai- UMNO bahagian Gua Musang menaruh harapan supaya calon muda dapat bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bulan depan.

Ketua Bahagiannya, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, calon dalam kalangan orang muda dilihat lebih diminati pengundi termasuklah ahli akar umbi.

Tengku Razaleigh yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri berkata, pihaknya telah mencadangkan tiga nama calon muda kepada parti untuk dibuat pilihan.

Katanya, lebih 60 peratus pengundi di DUN Nenggiri adalah terdiri daripada golongan muda.

"Kita harap kita turun dengan 10 sakti untuk cari kemenangan. Kalah menang di tangan tuhan. Tetapi kita mesti turun dan jamin kita boleh dapat kemenangan seperti dulu-dulu juga.

"Kita rasa kalau kita berjaya memenangi Nenggiri, Insya-Allah bukan saja di Gua musang kita boleh tebus kembali kekalahan tapi juga Kelantan di tempat lain yang kita tewas dalam pilihan raya yang lepas", katanya demikian kepada pemberita selepas Merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Gua Musang di Balai Rakyat Bukit Cekati di sini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD