fb fb fb fb fb

UMNO umum calon PRK DUN Nenggiri lebih awal - Zahid Hamidi

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA NERUS, 13 Julai-Barisan Nasional (BN) bakal mengumumkan nama calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada 17 Ogos lebih awal.

Menurut Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pengumuman awal itu memberi lebih ruang dan masa kepada calon turun ke akar umbi untuk menyantuni rakyat.

Zahid turut memberi bayangan, calon yang akan bertanding pada PRK DUN Nenggiri itu adalah terdiri daripada anak tempatan, dan dipilih daripada tiga calon yang disenarai pendek.

SPR sebelum ini menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal Dun Nenggiri adalah pada 3 dan 13 Ogos depan.

“Kami di biro politik telah menerima senarai pendek daripada Ketua Umno Bahagian Gua Musang yang menyalurkan nama itu pada perhubungan UMNO negeri.

“Biro politik telah buat keputusan dan kita menyerahkan nama pada Pengerusi BN Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub untuk buat pengumuman awal", katanya demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Nerus Ke-36, di sini.

Pada 13 Jun, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri selepas menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai kehilangan keahlian Mohd Azizi dalam parti.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD