fb fb fb fb fb

Pemilihan calon PRU perlu lebih dinamik, kenal pasti lebih awal

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani/ BERNAMA

BENTONG, 8 Julai- UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu lebih dinamik dengan mengenal pasti lebih awal calon pilihan raya umum akan datang, tidak hanya menunggu semasa proses pilihan raya umum.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, calon yang dipilih itu perlu segera turun padang melakukan gerak kerja agar dikenali oleh masyarakat setempat.

Beliau berkata calon perlu memenuhi kriteria yang bersesuaian berdasarkan kepada kawasan terbabit agar dapat menawan hati pengundi dan membawa kemenangan kepada BN.

"Kita dalam setiap bahagian, kita ada Parlimen, ada Dewan Undangan Negeri. Jadi kita banyak dah kalah, apabila kalah... kita tidak boleh tunggu hari percalonan, dua hari sebelum baru kita nak cari calon...kita mesti memikirkan", katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bentong di Dewan Majlis Perbandaran Bentong , Pahang.

Katanya, calon yang dipilih juga perlu dilatih dan dibantu sekiranya mereka tidak mempunyai pengalaman agar mereka dapat menjadi pemimpin yang disukai masyarakat.

Katanya, strategi yang dirancang juga perlu realistik dengan kerjasama komponen BN dan Kerajaan Perpaduan dalam memastikan kemenangan BN.

Sementara itu, mengulas mengenai komponen parti MCA dan MIC, beliau berkata, UMNO tidak boleh menyalahkan parti komponen tersebut atas kekalahan BN dalam mana-mana pilihan raya.

Katanya, kedua-dua parti itu bergantung kepada UMNO yang menjadi tunjang dalam BN, sekiranya UMNO kuat dua parti komponen itu turut akan kuat.

ROSLINA BINTI DIN