PETALING JAYA, 13 April- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning disifatkan sebagai pertarungan antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), dengan Pakatan Harapan (PH) turun padang membantu jentera kempen.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, Halimey Abu Bakar berkata PH memberi sokongan padu kepada calon Kerajaan Perpaduan dan yakin pengundi sudah cukup mengenali calon BN yang diketengahkan.
"Saya sendiri ada tugasan di sana (Ayer Kuning). Saya yakin pengundi-pengundi di DUN Ayer Kuning sudah tahu dan mengenali calon BN di tempat itu. Saya yakin BN boleh capai kemenangan sekali lagi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Gempak Raya DUN Taman Medan di sini hari ini.
Halimey yang juga Pegawai Penyelaras DUN Taman Medan berkata penganjuran majlis tersebut menjadi platform menyantuni penduduk pelbagai kaum serta latar belakang politik, di samping mengeratkan silaturrahim sempena Aidilfitri.
PRK DUN Ayer Kuning pada 26 April ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung.
Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54; calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek, 44; dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS, 40.
BERITA BERKAITAN