KOTA KINABALU, 27 November - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menawarkan pentadbiran berteraskan politik stabil, pembangunan dan perpaduan bagi membawa Sabah ke tahap kemajuan lebih tinggi, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, kerajaan negeri pimpinan gabungan itu telah membuktikan kemampuan mereka sepanjang lima tahun mentadbir, termasuk mengangkat prestasi ekonomi Sabah serta melaksanakan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 merentasi pelbagai sektor.
“GRS menawarkan politik stabil, politik pembangunan dan politik perpaduan. Kalau mahu maju, pilihlah GRS pada 29 November ini. Kita sudah membuktikan keupayaan memimpin negeri selama lima tahun. Ekonomi Sabah berjaya kita angkat ke tahap yang lebih baik,” katanya ketika berucap pada Kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS di DUN Darau dan DUN Karambunai, di perkarangan Masjid Al-Munir, Kampung Darau.
Turut hadir calon GRS bagi DUN Darau, Datuk Mohamed Razali Razi dan calon GRS bagi DUN Karambunai, Datuk Arshad Idris.
Hajiji berkata, walaupun masih ada program yang belum diselesaikan, kerajaan negeri komited membawa Sabah ke era pembangunan baharu yang setanding negeri lain.
Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap kemampuan calon GRS di Darau dan Karambunai untuk menjadi wakil rakyat efektif, berdasarkan pengalaman luas mereka.
“Sekaranglah masa untuk kita angkat mereka menjadi pemimpin. Mereka yang wakili kawasan ini sebelum ini pernah berada dalam kerajaan dua tahun setengah, tetapi ditolak rakyat. Rekod mereka sudah diketahui,” katanya.
Mengulas isu tempatan, Hajiji berkata kerajaan negeri mengambil maklum keluhan penduduk di Karambunai dan Darau, terutama berkaitan masalah tanah kampung dan setinggan.
Katanya, sebelum pembubaran DUN, Jemaah Menteri telah meluluskan pewartaan tanah kerajaan sekitar Kota Kinabalu sebagai rizab kampung untuk penempatan penduduk tempatan.
“Tanah itu diberi kepada DBKK dan diwarta sebagai rizab kampung bagi memastikan penduduk setinggan ada tempat tinggal yang sah. Di Karambunai dan Darau juga kita rancang membina perumahan rakyat,” katanya lagi.