PANTAI DALAM, 12 April- Semua pihak dinasihatkan agar berkempen secara sihat serta mengelakkan penyebaran fitnah dan isu sensitif berkaitan raja, agama dan kaum (3R) khususnya melalui media sosial sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata kerajaan tidak akan berkompromi terhadap penyalahgunaan media sosial dan menegaskan pihak berkuasa mempunyai keupayaan untuk mengesan individu yang menghantar mesej atau komen berunsur negatif.
"Melalui pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia yang berkuat kuasa pada 11 Februari lalu, jika seseorang didapati bersalah bawah Seksyen 233, mereka boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 di mahkamah.
"Jumlah denda ini adalah sangat besar, dan saya berharap ini akan menjadi peringatan kepada semua pihak," katanya kepada pemberita pada program sambutan Aidilfitri peringkat Parlimen Lembah Pantai di IWK Pantai Dalam di sini malam ini.
Fahmi turut memaklumkan beliau akan turun ke Ayer Kuning di Tapah, Perak esok untuk membantu kempen calon parti.
PRK DUN Ayer Kuning yang dijadualkan pada 26 April ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Februari lalu akibat serangan jantung.
PRK ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Dr. Mohamad Yusri Bakir (calon Barisan Nasional mewakili Kerajaan Perpaduan), Abd Muhaimin Malek (calon Perikatan Nasional) dan Bawani KS (calon Parti Sosialis Malaysia).
Dalam perkembangan lain, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai mengumumkan secara rasmi beliau akan bertanding bagi jawatan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan parti yang sedang berlangsung.
Beliau berkata keputusan itu dibuat untuk memperkukuh hala tuju parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
"Insya-Allah, saya akan berusaha bersama rakan-rakan berkempen dengan sihat dan menzahirkan satu manifestasi kepimpinan yang baru kerana inilah kepimpinan yang akan membawa parti bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan menuju PRU16 nanti," katanya.
Pemilihan PKR peringkat nasional dijangka berlangsung hingga 20 April ini, dengan proses pengundian dalam talian berjalan lancar di beberapa negeri.